Sumber dari blog rasmi jati....
Perkara mengenai gerakan Kristianisasi yang sering ditimbulkan telah mendapat beberapa reaksi daripada masyarakat bukan Islam dan masyarakat Islam sendiri. Sebahagiannya memberikan sokongan dan galakan untuk dipergiatkan lagi usaha menentang dan membendung gerakan Kristianisasi tersebut.
Sebahagiannya pula mengambil sikap tak kisah. Sementara sebahagian lagi meragu, menentang dan mencemuh usaha membawa perkara ini ke pengetahuan umum. Golongan ini terus menafikan bahawa sudah ada dalam bilangan yang agak besar orang Islam terjerumus dalam kancah penyelewengan aqidah.
Di pihak penganut Kristian khususnya di kalangan pimpinan gereja, sejak dari awal mereka menafikan dengan sekeras-kerasnya bahawa wujud gerakan Kristianisasi di negara ini. Mereka menafikan adanya pendakwah-pendakwah Kristian dari dalam dan luar negara yang berkeliaran menjalankan gerakerja mensasarkan orang-orang Melayu-Islam sebagai sasaran utama mereka.
Mereka juga menafikan bukti-bukti nyata dalam bentuk pengakuan, penerbitan dan rakaman yang memaparkan beberapa individu Melayu-Muslim yang telah dikristiankan. Sindrom penafian mereka mendapat pembelaan dan perlindungan apabila beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat DAP, PKR dan PAS mempertahankan tindakan mereka.
Pemimpin-pemimpin ini seolah-olah tanpa ada keraguan menyuarakan bantahan dan penafian serta menimbulkan keraguan mengenai gerakerja yang begitu rapi dan licik yang dijalankan oleh pendakyah-pendakyah Kristian tersebut. Kita diberitahu pendakyah-pendakyah tersebut mendapat latihan yang secukupnya dan menjalankan gerakerja dengan begitu profesional dan sistematik.
Terakhir mengenai isu ini, YB Datuk Zulkifli Nordin telah mendedahkan hasil kajian yang dibuat oleh organisasi Kristian di Amerika Syarikat mengenai perkembangan kemajuan gerakan Kristian di merata dunia termasuk di Malaysia.
Di Malaysia laporan itu menyebut bahawa sehingga kini terdapat lebih 1,000 orang telah berjaya dikristiankan. Seorang penulis Helen Ang, beragama Buddha dalam merujuk kepada kajian yang sama juga mengesahkan angka yang sama merujuk kepada bilangan orang Islam yang telah berjaya dimurtadkan.
Sementara Menteri Besar Selangor yang juga memegang portfolio Hal Ehwal Islam menggantikan YB Dato’ Dr Hasan Ali telah memberikan angka hanya 10 orang sahaja yang telah berjaya dikristiankan.
Beliau menjawab soalan di Dewan Negeri baru-baru ini mengenai gerakan memurtadkan orang-orang Islam di Negeri Selangor. Yang jelasnya ialah jawapan yang diberi oleh pihak Kristian dan mereka yang cuba menyembunyikan hakikat yang sebenarnya kelihatan mengambil pendekatan terus menidakkan dan men”down play” apa yang sebenarnya berlaku.
Hal ini mudah difahami kerana pimpinan politik khususnya yang beragama Islam bimbang bahawa mereka akan kehilangan sokongan bukan Islam sekiranya mereka bertegas mengenai gerakan Kristianisasi ini.
Kita rasa kecewa bila isu sebesar ini cuba dipolitikkan akhirnya kenyataan sebenarnya tidak dapat didedahkan. Kalau ada pun pendedahan yang dibuat seperti yang disebutkan tadi, di satu sudut yang lain, pemimpin-pemimpin politik Islam sendiri yang menjadi juara meragu dan menafikan apa yang sebenarnya yang telah dan sedang berlaku.
Kita tidak boleh lagi menggantungkan harapan dan keyakinan kepada pimpinan seperti ini. Kitalah yang mesti mengambil tanggungjawab memimpin diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, negara kita dan Umat Islam kita supaya sentiasa hidup diwarnai dengan aqidah yang suci murni.
JATI (Jalur Tiga) yang mengambil peranan aktif mencegah dan membendung gerakan Kristianisasi di negara ini sejak dari awal penubuhannya telah membuat pendedahan demi pendedahan berhubung dengan betapa agresifnya gerakan mengkristiankan masyarakat Islam.
Rakaman video individu yang terlibat telah pun didedahkan dalam satu sidang media khas awal tahun ini. Mengikut sumber tersebut di sekitar Petaling Jaya sahaja antara 2,000 ke 3,000 orang telah berjaya dikristiankan. Individu yang membuat pendedahan dalam klip video itu sendiri adalah merupakan salah seorang pembimbing amalan ajaran Kristian.
Beliau dan beberapa pembimbing yang lain mengendalikan sesi-sesi bimbingan secara mingguan di beberapa gereja dan lain-lain tempat yang biasanya dirahsiakan.
Persoalan mengenai menangani gerakan Kristianisasi amat kompleks dan penuh dengan liku-liku dan cabaran. Selain daripada kekurangan tenaga mahir, lojistik dan sumber, pengalaman JATI menunjukkan bahawa cabaran terbesar ialah apabila masalah ini dipolitikkan. Peristiwa DUMC yang berlaku di awal Ramadhan tahun lalu menceritakan segala-galanya.
Tidak pernah terfikir di kepala kita sebagai Muslim yang mesti sanggup memberikan segala-galanya untuk mempertahankan kesucian aqidah umat tetapi, atas nama kuasa, atas nama jawatan dan pangkat dan atas nama keuntungan dunia ada insan Muslim yang sanggup seolah-olah meredhokan penyelewengan aqidah terus berlaku dengan intensiti yang semakin hebat.
Yang paling ajaib terdapat pimpinan dari kalangan parti Islam sendiri yang tampil ke hadapan menjuarai tindakan meragu dan menafikan wujudnya gerakan mengkristiankan umat di negara ini.
Menyedari hakikat dan erti perjuangan khususnya yang berkait dengan aqidah orang Islam, gerakerja membenteras gerakan Kristianisasi mesti diteruskan dalam keadaan apa sekali pun. Samada wujudnya penentang atau tanpa adanya penyokong, dari segi Islam perjuangan mempertahankan aqidah bagi diri seorang Muslim adalah merupakan tindakan suci yang tidak ada tolok bandingnya.
Marilah kita bersama-sama memberi apa yang kita ada mengikut darjah kemampuan masing-masing untuk bersama-sama melibatkan diri secara langsung dalam usaha semurni ini. Kita harus sentiasa ingat dan jangan sekali-kali alpa mengenai amaran awal yang pernah sampai ke telinga kita untuk menjadikan Malaysia sebuah Negara Kristian.
No comments:
Post a Comment